PERUTUSAN KETUA PENGARAH
Assalamualaikum w.b.t & Salam 1Malaysia.
Selamat datang ke laman web rasmi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Malaysia.
Sepanjang 50 tahun KEMAS ditubuhkan, pelbagai onak dan ranjau telah ditempuhi demi memastikan peranan KEMAS kekal relevan seiring peredaran zaman. Pembaharuan demi pembaharuan telah dilaksanakan bagi melahirkan masyarakat luar bandar yang mampan dan mempunyai daya saing yang tinggi sekali gus mendukung inisiatif kerajaan.
Perkembangan teknologi maklumat yang semakin pantas menuntut kesediaan KEMAS dalam menyampaikan maklumat dengan cepat dan tepat. Laman Web KEMAS dilihat sebagai wadah paling berkesan untuk penyebaran maklumat dan sebagai sumber rujukan orang ramai untuk mengenali KEMAS dengan lebih dekat. Semoga dengan adanya laman web ini, pelbagai program dan aktiviti yang kami laksanakan dapat dikongsi dan memberi manfaat kepada orang ramai.
Dalam meniti era perkembangan teknologi siber, KEMAS tidak ketinggalan dalam mengambil kesempatan di atas perkembangan teknologi maklumat terutama dalam ledakan media sosial dan Web 2.0. Maklumat terkini tentang KEMAS bukan sahaja boleh dicapai melalui laman web, malah kami menyediakan saluran Facebook dan YouTube bagi mewar-warkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini KEMAS.
Dengan kepelbagaian saluran penyampaian yang kami sediakan, diharap hubungan KEMAS dengan masyarakat akan menjadi lebih dekat di mana masyarakat dapat lebih memahami fungsi, objektif dan peranan KEMAS dalam menjayakan pembangunan modal insan di kalangan masyarakat luar bandar.
Saya juga dengan berbesar hati mengalu-alukan orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklum balas dan komen yang konstruktif bagi menambah baik laman web KEMAS demi meningkatkan lagi keberkesanan KEMAS dalam penyampaian perkhidmatan selaras dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Sekian, terima kasih.
“NADI PEMBANGUNAN DAN PERUBAHAN MASYARAKAT LUAR BANDAR”
YBHG. DATO' HASSAN BIN MOHD AMIN
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT
0 comments:
Post a Comment